Amri kembali sarung jersi merah kuning

0
Photo credit: SAFWAN MANSOR

Bagai sirih pulang ke gagang.

Begitulah yang boleh dikatakan mengenai kembalinya bekas pemain Selangor, Amri Yahyah ke pasukan Red Giants yang dikatakan akan berlaku pada musim perpindahan pemain di pertengahan musim ini.

Melaka United lepaskan Amri

Satu kejutan berlaku apabila Melaka United mengambil keputusan melepaskan penyerang berpengalaman itu di pertengahan musim ini.

Penyerang berusia 36 tahun itu yang menjadi pembelian termahal mereka musim ini akan dilepaskan ke Selangor dan perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bolasepak Selangor yang baru Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurut Pengurus Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi kepada akhbar Berita Harian, keputusan itu adalah keputusan sendiri Melaka United dan mereka mempunyai perancangan tersendiri walaupun bakal kehilangan seorang penyerang berpengalaman.

“Peratusan Amri kembali ke Selangor amat tinggi, walaupun dia banyak menyumbang kepada kekuatan Melaka United termasuk membantu kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di Liga Super dan menewaskan PKNS dalam saingan peringkat kedua Piala FA.

”Kami juga mempunyai strategi selepas ketiadaannya terutama dalam memastikan penggantinya nanti lebih berwibawa, jika tidak pasti kami tidak akan melepaskan Amri.

Pencapaian Amri

Amri sebelum ini pernah membuat 374 penampilan bersama skuad Red Giants dan menjaringkan 118 gol sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke Johor Darul Ta’azim (JDT) pada tahun 2014.

Bersama JDT, Amri beraksi selama dua musim dan berjaya memenangi gelaran juara Liga Super, Piala FA dan paling tertinggi adalah menjulang trofi Piala AFC pada tahun 2015.

Bersama skuad kebangsaan, Amri adalah antara pemain yang beraksi dalam kejayaan Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun 2010. Selain itu, Amri juga berjaya mencuri tumpuan apabila menewaskan dua penjaga gol Manchester United, Edwin Van Der Sar dan Ben Foster, dalam satu perlawanan persahabatan yang berlangsung pada tahun 2009.

Melaka United kini berada di tangga kesepuluh Liga Super dengan mencatatkan dua kemenangan dari lapan perlawanan. Melaka United berjaya mencipta kejutan apabila mara ke Liga Super selepas hanya satu musim beraksi di Liga Perdana.