Football

Penyokong Surabaya dan Solo bantah jadual perlawanan Liga 2

Kebiasaannya perlawanan bolasepak akan diadakan pada hari minggu terutamanya pada hari Sabtu dan Ahad untuk memudahkan penyokong hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan.

Kita lihat liga-liga utama kebanyakannya mengadakan perlawanan pada hujung minggu sama ada pada waktu malam atau siang mengikut keadaan stadium dan jadual perlawanan liga.

Namun, ada sesetengah liga divisyen bawahan yang jadual perlawanannya sering dilakukan pada hari berkerja. Contohnya seperti Liga Perdana di Malaysia yang berlangsung sama ada pada waktu petang atau malam hari Jumaat.

Penyokong tolak jadual Liga 2

Akan tetapi, jadual perlawanan bagi Liga 2 Indonesia lebih teruk berbanding Liga Perdana Malaysia.

Menurut syarat liga yang kini dikenali sebagai Liga 2 Gojek Traveloka, perlawanan akan berlangsung pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Perkara ini mendapat tentangan dari penyokong kelab di Surabaya dan Solo.

Pada hari Ahad lalu, ribuan penyokong Persebaya Surabaya atau lebih dikenali sebagai Bonek turun ke jalanan tanda protes mereka terhadap jadual yang diputuskan oleh pihak pengurusan Liga.

Menurut Andi Peci, salah seorang penyokong Persebaya, protes jalanan ini dilakukan sebagai tanda penolakan mereka terhadap syarat Liga 2 yang merancang akan mengadakan perlawanan liga hanya pada hari Isnin dan Khamis.

Memetik kenyataannya dari laman infosuporter.id: “ Bonek juga punya aktiviti. Ada yang berkerja, ada usahawan, ada peniaga, juga ada yang masih bersekolah. Jadi mereka hanya dapat menonton perlawanan pada setiap Sabtu atau Ahad.”

Bonek mendesak kepada Persekutusan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), agar syarat mengenai jadual Liga 2 tersebut akan disemak semula dan meminta pengurusan Persebaya untuk menghantar surat bantahan kepada PSSI.

Ribuan penyokong Persebaya turun ke jalanan bermula dari Zoo Surabaya menuju ke lokasi hari tanpa kenderaan di Jalan Raya Darmo, kemudian berjalan menuju ke Hotel Mercure sebelum kembali ke Zoo Surabaya.

Pasoepati bantah menerusi trofeo

Selain di Surabaya, bantahan turut dilakukan di Solo, tetapi dengan cara yang berbeza.

Di Solo, bantahan dilakukan menerusi satu trofeo oleh penyokong Persis Solo yang dikenali sebagai Pasoepati. Mereka membentangkan satu sepanduk yang bertulis ‘Menolak perlawanan pada hari Isnin dan Khamis. Bolasepak Milik Rakyat.

Adakah penyokong pasukan Liga Perdana Malaysia akan terus menerima perlawanan berlangsung pada hari Jumaat?

 

Other posts by