Agilan ‘Alligator’ Thani dapat peluang rebut kejuaraan MMA dunia

0
Photo Credit: ONE FC

Berita baik buat penggemar sukan MMA di Malaysia.

Nampaknya 2017 akan menjadi tahun yang baik buat sukan MMA di Malaysia. Sebelum ini telah diumumkan bahawa seorang peserta MMA Malaysia, Ev Ting akan bertarung merebut tali pinggang kejuaraan dunia di Manila, Filipina pada bulan ini. Kini, seorang lagi penggusti MMA dari Malaysia juga akan bertarung merebut tali pinggang kejuaraan ONE FC!

Agilan Thani akan rebut kejuaraan

ONE Championship baru saja mengumumkan pada hari ini bahawa salah satu dari acara utama untuk ONE: DYNASTY OF HEROES yang akan berlangsung di Singapura pada bukan Mei ini akan melibatkan penggusti Malaysia, Agilan “Alligator” Thani.

Agilan akan bertarung merebut tali pinggang kejuaraan kategori welterweight ONE dari penyandangnya Ben “Funky” Askren di Stadium Tertutup Singapura pada 26 Mei ini.

Victor Cui, CEO ONE Championship berkata: “Kami dengan berbesar hati mengumumkan penampilan semula juara dunia ONE kategori Welterweight Ben Askren dan dia bersedia menerima cabaran penggusti muda Agilan Thani. Ianya akan menjadi satu perlawanan menarik di antara penggusti muda menentang penggusti berpengalaman, satu malam yang tidak patut dilepaskan peminat. Bersedia untuk aksi MMA tanpa henti yang akan berlangsung di Singapura.! ”

Agilan Thani yang merupakan bekas juara kategori welterweight program pencarian bakat MMA Malaysia, Malaysian Invasion Mixed Martial Arts (MIMMA) musim kedua mempunyai rekod tanpa kalah di ONE FC dan akan kembali ke dalam gelanggang selepas mencatat kemenangan hebat ke atas penggusti veteran, Jeff Huang di Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhirnya.

Tenaga muda vs Pengalaman

Penggusti berusia 21 tahun ini mempunyai rekod profesional 7-0 dengan lima dari tujuh kemenangannya dicapai dalam pusingan pertama. Agilan telah menunjukkan perkembangan menakjubkan dan penat lelahnya terbalas dengan peluang merebut tali pinggang kejuaraan dunia.

Ben Askren pula merupakan antara penggusti MMA berpengalaman yang berjaya merebut tali pinggang kejuaraan ONE FC dalam hanya beberapa perlawanan. Askren menewaskan Nobutatsu Suzuki untuk merangkul kejuaraan welterwight ONE FC dan disenaraikan antara penggusti MMA terhebat.

Seorang lagi penggusti MMA Malaysia, Ev Ting akan merebut tali pinggang kejuaraan ONE FC kategori Lightweight menentang juara bertahan dari Filipina Eduard Folayang pada 21 April ini di Mall of Asia Arena, Filipina.