Football

Sriwijaya FC mahu bawa masuk bekas pemain Real Madrid

Menjelang sepak mula Liga 1 Indonesia, pastinya semua pasukan sudah berada di peringkat terakhir untuk mempersiap pasukan.

Sama ada mencari pemain tempatan yang berwibawa atau mencari pemain berstatus marquee player, setiap pasukan sudah mula bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama.

Melihat perkembangan kelab-kelab Indonesia seperti Persib Bandung dan Madura United yang mendapatkan bekas pemain kelab Eropah, tidak menjadi kejutan jika pasukan lain juga sedang mencari pemain berstatus bintang untuk dibawa masuk.

Sriwijaya FC sasar bekas pemain Perancis

Barisan pengurusan dan kejurulatihan Sriwijaya FC masih berdiam diri berkenaan pemain berstatus marquee player yang mahu dibawa masuk untuk musim ini. Sebelum ini, beberapa nama telah disebut akan dibawa masuk oleh pasukan yang berpengkalan di Palembang ini.

Antara nama yang disebut untuk dibawa masuk adalah bekas pemain Real Madrid, Lassana Diarra, bekas pemain Arsenal Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure.

Di antara tiga nama tersebut, Lassana Diarra paling kuat dikaitkan dengan pasukan yang beraksi di Stadium Gelora Sriwijaya ini. Ini dikatakan kerana Sriwijaya FC lebih berminat untuk membawa pemain di bahagian tengah berbanding penyerang dan pertahanan.

Tetapi lain pula jika menurut jurulatih Sriwijaya FC, Oswaldo Lessa, seperti dilaporkan oleh indosport.com: “Posisinya mungkin di bahagian serangan.”

Oswaldo Lessa turut mengatakan bahawa dia tidak mengetahui siapa pemain berstatus marquee player yang akan dibawa masuk. Akan tetapi, dia turut mengatakan bahawa akan ada pemain berstatus bintang yang dibawa masuk dalam tempoh terdekat.

Diarra mempunyai masalah kesihatan

Pihak pengurusan sendiri belum memberikan sebarang penjelasan terperinci mengenai hal ini. Presiden Sriwijaya FC, Dodi Reza Alex ketika ini dikatakan berada di luar negeri dan belum boleh membuat sebarang pengumuman rasmi.

Sebelum ini pernah juga dikhabarkan bahawa Sriwijaya FC tidak akan membawa masuk Lassana Diarra kerana pemain tersebut sedang mengalami gangguan usus.

“Kami tidak dapat menandatangani dia kerana adanya gangguan kesihatan,” kata Setiausaha Sriwijaya FC Ahmad Haris kepada Kompas.com pada hari Isnin lalu.

Sriwijaya FC sebelum ini pernah menamatkan kontrak pemain import mereka Thierry Gathuessi kerana mempunyai masalah kesihatan.

Other posts by