Football

Bali United berminat dapatkan bekas pemain West Ham dan Aston Villa

Walaupun mampu menewaskan Persib Bandung yang menurunkan Michael Essien dan Carlton Cole dalam perlawanan persahabatan yang lalu, Bali United tetap mempunyai perancangan untuk membawa masuk pemain berstatus bintang.

Melihat kepada perkembangan Liga 1 Indonesia, tidak terkejut jika bekas pemain di Eropah sudah mula berminat untuk beraksi di Indonesia. Ditambah pula dengan Bali United yang berpengkalan di Bali, salah satu pulau yang cukup terkenal di dunia.

Bali minat Reo-Coker

Kuat khabar bahawa Bali United akan membawa masuk pemain berstatus marquee player.

Di antara semua pemain yang ditawarkan oleh ejen pemain asing, dikhabarkan Bali United menunjukkan minat ke atas seorang pemain di bahagian tengah yang pernah beraksi untuk Aston Villa.

Menurut laporan dari Tribun Bali, sumber mereka menyatakan bahawa pemain yang dimaksudkan itu adalah Nigel Reo-Coker yang pernah beraksi untuk West Ham United dan Aston Villa di Liga Perdana Inggeris.

Menurut sumber berkenaan, pemain berusia 32 tahun itu telah ditawarkan oleh ejen kepada pihak pengurusan Bali United.

“Jika pihak pengurusan Bali United setuju, maka pemain ini akan dibawa ke Bali. Sekarang pemain itu masih berada di England,” kata sumber itu kepada Tribun Bali.

Reo-Coker jalani ujian bersama Granada

Namun, perkembangan terbaru menyaksikan Nigel Reo-Coker kini berada di Sepanyol untuk mengikuti sesi ujian untuk menyertai pasukan Granada yang kini dikendalikan oleh bekas ketua pasukan Arsenal, Tony Adams.

Reo-Coker dikatakan sedang menjalani ujian bersama bekas pemain dari akademi Manchester United, Kieran Richardson.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah beraksi untuk Wimbledon, West Ham United, Aston Villa, Bolton Wanderers dan Ipswich Town di England.

Selepas itu, Reo-Coker meneruskan kerjayanya di Amerika Syarikat dengan menyertai Major League Soccer. Di Amerika Syarikat, Reo-Coker beraksi untuk Vancouver Whitecaps, Chivas USA dan Montreal Impact.

Dikhabarkan nama Reo-Coker disebut akan menyertai Bali United disebabkan pasukan yang terkenal dengan jolokan Serdadu Tridatu mahukan seorang pemain tengah bertahan untuk menguatkan barisan tengah mereka.

Other posts by