Frank Rijkaard hantar permohonan jadi jurulatih Thailand

0
Photo credit: Rte.ie

Bekas jurulatih Barcelona, Frank Rijkaard telah menjadi jurulatih terbaru yang menunjukkan minat untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Thailand.

Bekas pemain Belanda itu dikatakan telah menghantar permohonannya kepada Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) dan merupakan salah seorang dari ramai jurulatih berpengalaman yang berminat untuk mengendalikan pasukan Thailand.

Menurut Laporan Bangkok Post, setiausaha Agung FAT,Pol Lt Pisan Judilok mengesahkan pada Rabu lalu: “Kami telah menerima permohonan Frank Rijkaard , yang telah memohon untuk menjadi jurulatih Thailand selepas Kiatisuk Senamuang meletakkan jawatan.”

Pisan tidak memberikan sebarang maklumat lanjut, tetapi menambah: “Presiden FAT , Pol Gen Somyot Poompunmuang dan pengerusi teknikal Witthaya Laohakul sedang sibuk membuat keputusan dan akan mengumumkannya tidak lama lagi.”

Rijkaard sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan Ajax, Real Zaragoza, Milan dan mewakili pasukan kebangsaan Belanda sebanyak 73 kali dan menjaringkan 10 gol.

Bagi kerjayanya sebagai jurulatih pula, dia pernah mengendalikan pasukan seperti Sparta Rotterdam, Barcelona dan Galatasaray. Dia juga pernah menjawat jawatan selaku jurulatih untuk pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Jurulatih ternama dunia tunjuk minat

Sejak Kiatisuk meletakkan jawatan pada bulan lalu, ramai jurulatih berpengalaman dan ternama telah menunjukkan minat untuk mengendalikan skuad Thailand.

FAT telah mendedahkan bahawa dua jurulatih terkenal dari Brazil juga telah menghantarkan permohonan mereka.

Dilaporkan bahawa penyerang lagenda Brazil, Zico serta bekas pemain dan jurulatih Brazil, Carlos Dunga juga telah menghantarkan permohonan ke badan pentadbir bolasepak Thailand itu.

Turut menghantarkan permohonan adalah bekas jurulatih Thailand, Winfried Schaefer yang berminat untuk kembali ke Thailand.

Dikhabarkan bahawa bekas jurulatih Argentina Aleandro Sabella merupakan antara jurulatih yang mahu dibawa masuk oleh FAT.

Bekas jurulatih yang membawa Leicester City mengejutkan dunia dan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Claudio Ranieri juga dikatakan antara nama yang ingin dibawa masuk oleh FAT.

Namun, Pisan menyatakan bahawa FAT hanya akan mengeluarkan wang sekitar 100 juta Baht untuk mendapatkan jurulatih baru, dan Ranieri akan menyebabkan mereka terpaksa membayar dua kali ganda dari jumlah tersebut.

Thailand kini berada di kedudukan tercorot kumpulan dalam saingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2018 selepas tewas enam perlawanan dan seri sekali dari tujuh perlawanan mereka.