Wei Feng dan Zulfadli boleh beraksi di Sukan SEA 2017

0
Photo Credit: caulongplus.vn

Adakah kita akan dapat mengekalkan pingat emas acara badminton Sukan SEA pada bulan Ogos nanti?

Melihat pada perkembangan pemain badminton terutamanya acara individu pada tahun ini, dapat dilihat kita masih bergantung kepada pemain nombor satu dunia, Dato’ Lee Chong Wei untuk merebut kejuaraan.

Akan tetapi, pastinya pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Chong Wei Feng juga mahu mengekalkan pingat emas yang dimenanginya di Singapura.

Chong Wei Feng dan Zulfadli ada masa

Setakat ini, pintu masih dibuka kepada dua pemain badminton bebas, Zulfadli Zulkifli dan Chong Wei Feng untuk mewakili Malaysia pada bulan Ogos ini.

Bekas juara dunia, Zulfadli Zulkifli dan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Chong Wei Feng adalah di antara 36 nama yang dicadangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Persatuan Badminton Malaysia perlu membuat keputusan siapa 10 pemain lelaki dan wanita yang akan membawa cabaran buat Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

Di Sukan SEA Singapura pada tahun 2015 yang lalu, Chong Wei Feng menewaskan rakan senegara Mohamad Arif Abdul Latif 21-8, 21-9 untuk merangkul pingat emas.

Rashid puji tindakan BAM

Bekas pemain badminton kebangsaan, Rashid Sidek memuji tindakan BAM yang mencadangkan nama dua pemain berkenaan. Menurutnya seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star: “ BAM boleh memilih di bawah mereka, tetapi mereka terbuka untuk memilih pemain bebas. Itu satu perkara yang adil kerana Zulfadli dan Wei Feng mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari pemain pelapis lain.

“Badan induk badminton negara itu akan membuat keputusan akhir, tetapi sekurang-kurangnya Zulfadli dan Wei Feng akan bersemangat untuk membuktikan diri mereka.

“Keputusan ini juga akan memberi semangat kepada pemain bebas yang lain…bahawa mereka boleh mewakili negara jika mereka beraksi dengan lebih baik dari pemain BAM.”

Sebelum ini, Lee Chong Wei dikatakan tidak akan beraksi dalam Sukan SEA disebabkan tarikh Sukan SEA bertembung dengan Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland. Namun, selepas itu namanya turut tersenarai dalam senarai pemain skuad Sukan SEA.

Mungkin adalah lebih baik untuk Lee Chong Wei menyertai Kejohanan Dunia dan membiarkan pemain pelapis membawa cabaran Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

Tugas mungkin sedikit sukar buat Malaysia untuk mengekalkan pingat emas acara badminton Sukan SEA nanti. Menurut Rashid Sidek, cabaran akan diberikan oleh Indonesia dan juga Thailand yang turut mempunyai pemain pelapis berkualiti.