Latif Romly cipta sejarah menang anugerah Olahragawan Kebangsaan

0
Photo Credit: Team Malaysia (Twitter)

Pada tahun lalu dia berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

Bukan setakat memenangi pingat emas, tetapi dia juga berjaya memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang dari satu jam untuk membantu Malaysia merangkul pingat emas ketiga.

Hasil kejayaan anak muda ini pada tahun lalu, tahun ini dia berjaya merangkul anugerah Olahragawan Kebangsaan

Latif Romly menang Olahragawan Kebangsaan

Abdul Latif Romly berjaya mencipta sejarah apabila menjadi atlet Para pertama yang memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan 2016 pada majlis Anugerah Sukan Negara 2016 (ASN 2016) pada malam semalam yang disampaikan oleh Kesemua anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Atlet kelahiran Perlis itu memenangi anugerah tersebut hasil kejayaannya memenangi pingat emas acara lompat jauh kategori T20 di Sukan Paralimpik Rio.

Anak muda berusia 20 tahun ini kini memegang rekod dunia acara tersebut selepas mencatat jarak lompatan sejauh 7.60m pada temasya sukan dunia tersebut.

Latif dicalonkan bersama nama-nama besar seperti Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang(lumba basikal), Syarul Azman Mike Mahen (bina badan), Rafiq Ismail (bowling_ dan Mohd Al-Jufferi Jamari (silat).

Kemenangan Latif pastinya akan menjadi tonik buat semua atlet Para negara untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada temasya Sukan Para Asean pada bulan September di Kuala Lumpur nanti.

Pada tahun lalu, Latif turut beraksi menentang atlet normal di Sukan Malaysia 2016 yang berlangsung di Sarawak dan berjaya merangkul pingat emas. Selain itu, Latif juga mensasarkan untuk bertanding di Sukan SEA Kuala Lumpur pada bulan Ogos nanti.

Siti Rahmah rangkul Olahragawati Kebangsaan

Bagi anugerah Olahragawati Kebangsaan, atlet Silat negara, Siti Rahmah Mohd Nasir berjaya memenangi anugerah tersebut.

Pesilat berusia 30 tahun berjaya memenangi kesemua empat kejohanan yang disertainya termasuk Kejohana Silat Dunia yang berlangsung di Bali, Indonesia.

Selain Latif, turut menerima anugerah mewakili atlet para pada malam tadi adalah Siti Noor Radiah Ismail (Olahragawati Para Kebangsaan) dan R. Jaganathan yang memenangi anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan selepas berjaya membimbing Ridzuan Puzi memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Rio.