Football

Spaso letak jawatan ketua pasukan Melaka United

Pemain import Melaka United, Ilija Spasojevic mengumumkan perletakan jawatannya selaku ketua pasukan Melaka menerusi laman sosialnya petang semalam.

Pemain berasal dari Montenegro itu mengumumkan perletakan jawatannya sebelum perlawanan Liga Super di antara Melaka United menentang PKNS di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dalam kenyataan di laman sosialnya, Spaso menyatakan bahawa keputusan tersebut telah lama dipertimbangkan olehnya.

“Saya ingin mengumumkan kepada semua penyokong MU mengenai keputusan saya untuk melepaskan tanggungjawab saya sebagai ketua pasukan. Saya sudah lama pertimbangkannya dan telah memberitahu ketua jurulatih pagi tadi.”

“Ia adalah menjadi satu penghormatan bagi saya untuk menjadi ketua pasukan untuk kelab ini, terutamanya pada musim lepas setelah kami mencipta sejarah dengan memenangi liga selepas 33 tahun.

“Saya selalu meletakkan kepentingan pasukan dahulu sebelum saya di dalam kerjaya dan ingin memberi tanggungjawab ini kepada yang seseorang lebih layak di dalam mengetuai pasukan ini. Saya berjanji bahawa dedikasi saya tetap sama, saya akan berjuang 100% untuk pasukan ini selagi khidmat saya masih diperlukan.

“Saya berharap anda semua dapat memahami dan teruskan sokongan kepada ketua pasukan baru dan para pemain, kerana kami amat memerlukan setiap sokongan anda semua.”

Melaka United seri 2-2 dalam perlawanan menentang PKNS dengan Spaso menjaringkan dua gol.

Prestasi buruk pendatang baru Liga Super 2017 itu telah menjadi bualan ramai dan ada khabar menyatakan bahawa rombakan akan dibuat dalam pasukan dan beberapa pemain akan disingkirkan termasuk Spaso sendiri.

Skuad kendalian Eric Williams itu kini berada di tangga kesepuluh liga selepas hanya mencatat dua kemenangan dari 11 perlawanan Liga Super 2017.

Pada tahun lalu, Spasojevic menjaringkan 27 gol dari 23 perlawanan untuk merangkul gelaran penjaring terbanyak Liga Malaysia 2016.

Sebelum bermain bersama Melaka United, Spaso sudah biasa dengan bolasepak Asia selepas beraksi bersama beberapa kelab Indonesia seperti Bali Devata, PSM Makassar, Mitra Kukar, Putra Samarinda dan Persib Bandung.

Mungkinkah selepas melepaskan jawatan sebagai ketua pasukan, Spaso akan kembali menemui sentuhannya? Dua gol menentang PKNS pastinya boleh menjadi pembakar semangat buat pemain berusia 29 tahun ini.

Other posts by