Football

Bali United dapatkan bekas anak didik Louis Van Gaal

Bekas pemain yang pernah menjuarai Liga Belanda, Nick van der Velden telah sah menyertai kelab Indonesia, Bali United, sebagai pemain berstatus marquee player.

Pemain berusia 35 tahun berpindah ke Bali dari kelab liga Scotland, Dundee United setelah menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab Liga 1 Indonesia itu.

Tarik hasrat bersara

Van Der Velden pada mulanya merancang untuk bersara pada penghujung musim ini tetapi tawaran menarik Bali United yang dikatakan sekitar enam angka untuk tujuh bulan itu sukar untuk ditolak.

Bercakap kepada Evening Telegraph, penyerang berasal dari Belanda itu berkata: “ Saya mahu berterima kasih kepada pengerusi dan pengurus (Dundee United) kerana membenarkan saya mengambil peluang ini.

“Peminat Dundee United telah berlaku baik dengan saya. United adlah kelab yang hebat dan saya berharap kalian akan dapat naik ke liga utama.”

Bercakap kepada laman web rasmi kelab, van der Velden berkata: “ Seluruh dunia sudah tahu mengenai kecantikan Bali dengan pantai dan keindahan lainnya. Ini akan menjadi satu momentum tepat untuk penghujung kerjaya saya.

“Saya tidak sabar untuk bermain, tetapi keputusan pastinya terletak di tangan jurulatih.”

Van der Velden sebelum ini pernah menjuarai Liga Belanda bersama AZ Alkmaar yang ketika itu dikendalikan oleh bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal.

Bali pecat jurulatih

Bali United kini berada di kedudukan ke-17 Liga 1 Indonesia selepas mencatat dua kekalahan dari dua perlawanan. Dalam perlawanan terakhir mereka pada hari Ahad lalu, Bali United tewas 2-1 kepada Persipura Jayapura. Bali United akan menentang Persela Lamongan dalam perlawanan seterusnya.

Ekoran prestasi buruk Bali United dalam dua perlawanan awal mereka, pihak pengurusan kelab tersebut telah mengambil keputusan untuk memecat jurulatih mereka, Hans Petter Scheller.

Buat masa ini, kelab yang terkenal dengan jolokan Serdadu Tridatu itu dikendalikan oleh penolong jurulatih Eko Purjianto.

CEO Bali United, Yabes Tanuri menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil kerana jurulatih berasal dari Austria itu mempunyai visi berbeza dengan pihak pengurusan.

Hans Petter Scheller pernah memegang jawatan sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia sebelum ke Bali.

Other posts by