Football

Madura United dapatkan bekas pemain Werder Bremen

Bagaimana cara untuk menunjukkan kehebatan kepada pesaing-pesaing dalam liga? Dapatkan pemain berstatus marquee player. Bagaimana cara untuk menunjukkan bahawa pasukan mahu menjadi juara? Dapatkan dua pemain berstatus marquee player.

Nampaknya satu lagi kelab Indonesia mengikut jejak langkah Persib Bandung yang mendapatkan dua pemain berstatus marquee player di mana Michael Essien dan Carlton Cole bermain untuk pasukan berpengkalan di Bandung itu.

Madura United dapatkan Boubacar Sanogo

Madura United secara rasmi mendapatkan pemain Ivory Coast, Boubacar Sanogo untuk bergandingan bersama pemain berstatus marquee player mereka, Peter Odemwingie.

Mengumumkan perkara berkenaan menerusi laman instagram rasmi pasukan, @maduraunited.fc, pemain yang pernah beraksi di Bundesliga dan Ligue 1 Perancis itu dilihat bergambar bersama ejennya, Francis Yonga di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

 

Presiden Madura United, Achsanyl Qosasi dipetik oleh Juara.net berkata: “Selamat menyertai kami Boubacar Sanogo. Kami harap dia dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan atmosfera bolasepak di Indonesia dengan segera.”

Sanogo akan mengisi slot pemain import yang ditinggalkan oleh pemain berasal dari Perancis, Redounae Zerzouri yang terpaksa disingkirkan ekoran kecederaan otot paha.

Zerzouri mengalami kecederaan tersebut dalam perlawanan kedua Liga 1 di mana Madura United tewas kepada Persela Lamongan pada hari Jumaat lalu.

Akan buat penampilan menentang Persija

Bekas pemain Hamburg SV dan FC Kaiserslautern itu dijangka akan membuat penampilan pertamanya bersama Madura United di tempat lawan dalam perlawanan menentang Persija Jakarta di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi pada hari Khamis nanti.

“Menentang Persija nanti, akan menjadi bukti bahawa Sanogo sesuai bersama Madura United,” kata Achsanul lagi.

Sanogo pernah beraksi untuk Werder Bremen, 1899 Hoffenheim dan Energie Cottbus di Jerman sebelum ini. Selain itu, dia juga pernah bermain di Ligue 1 Perancis bersama Saint-Ettienne.

Pemain Ivory Coast itu juga tidak asing dengan bolasepak Asia kerana pernah beraksi untuk Al Ain dan Fujairah Sports Club di UAE,. Sanogo juga pernah beraksi bersama NorthEast United di Liga India.

Bersama pasukan kebangsaan, Sanogo membuat 21 penampilan dan menjaringkan lapan gol.

Other posts by