Football

Liga Indonesia setaraf Divisyen Dua Sepanyol – Luis Milla

Jurulatih Indonesia, Luis Milla menyatakan bahawa Liga 1 Indonesia yang baru bermula tahun ini adalah setanding dengan liga divisyen 2 Sepanyol yang juga dikenali sebagai Segunda Division.

Jurulatih berusia 51 tahun itu yang dilantik sebagai jurulatih Indonesia pada Januari lalu telah melihat perlawanan Liga 1 Indonesia dan juga rakaman-rakaman perlawanan Kejuaraan Bolasepak Torabika (TSC) 2016 untuk membantunya memilih pemain untuk pasukan kebangsaan.

Indonesia terima baik orang Eropah

“Jika kita bandingkan liga bolasepak utama Indonesia (Liga 1) dengan Sepanyol, anda akan dapat melihat kesamaan dengan liga divisyen 2 di Sepanyol (Segunda Division),” kata Milla seperti dilaporkan oleh Juara.net.

Milla juga menyatakan bahawa orang Sepanyol dan juga negara gergasi bolasepak di Eropah dipandang tinggi dan diterima baik di Indonesia.

“Amat penting untuk kelab-kelab di Indonesia untuk mengetahui dari negara bolasepak mana anda berasal. Mereka dilihat menilai tinggi seseorang yang berasal dari Sepanyol dan negara-negara Eropah lain.”

Liga Indonesia setaraf Liga Conference

Berbeza pendapat dengan Milla, bekas pemain Bandung FC, Lee Hendrie ketika beraksi dalam kancah Indonesia Premier League (IPL) menyatakan bahawa liga Indonesia sama taraf dengan Liga Conference iaitu liga divisyen kelima di England.

Dalam kenyataannya di sebuah program ESPN UK pada tahun 2011, Hendrie menyamakan liga Indonesia dengan liga yang disertai campuran pemain sepenuh masa dan semi-profesional di England itu.

“Standard bolasepak Indonesia? Sangat berbeza, saya rasa sama dengan Liga Conference.

“Padang yang buruk akan mempengaruhi kualiti permainan bolasepak. Tidak semua padang dilihat baik. Pernah satu ketika saya dapat menguasai bola dengan mudah, tetapi kemudiannya saya perlu berdepan dengan kawasan yang tidak rata,” kata bekas pemain Aston Villa itu.

Jika Liga Indonesia setaraf dengan Liga Sepanyol divisyen kedua, bagaimana pula dengan Liga Malaysia?

Other posts by