#MatchdayMadness: Jogja, PSS Sleman dan Brigata Curva Sud

0
Tiket untuk menyaksikan perlawanan dan Stadium Maguwoharjo

Bolasepak merupakan sukan yang paling terkenal di Asia Tenggara.

Popularitinya melangkaui bangsa, umur dan negara. Dapat dilihat di hampir semua negara di Asia Tenggara, kegilaan masyarakat terhadap sukan paling terkenal di dunia ini.

Di sebalik kesamaan itu, ada perbezaannya. Perbezaan dari budaya, sokongan dan kegilaan. Setiap negara mempunyai keunikan tersendiri dalam kegilaan mereka terhadap bolasepak. Disebabkan keunikan itu, aku bercita-cita untuk cuba menjelajah ke negara-negara di Asia Tenggara untuk melihat keunikan ini.

Lokasi pertama, Jogjakarta.

Jogja x Football

Sebenarnya apa yang aku buat ini satu perjudian. Aku membeli tiket untuk ke Jogjakarta pada tahun lepas. Di mana ketika itu bolasepak Indonesia masih belum pulih dan tiada Liga 1 atau Liga 2 seperti yang ada sekarang.

Aku bernasib baik kerana walaupun aku membeli tiket penerbangan pada tahun lalu, tetapi tarikh tersebut jatuh tepat ketika PSS Sleman mempunyai perlawanan di laman mereka sendiri, Stadion Maguwoharjo.

Sememangnya aku mengambil keputusan ke Jogjakarta ini adalah untuk melihat sendiri perlawanan PSS Sleman dan kehebatan Brigata Curva Sud di sana. Kepada yang tidak tahu, Brigata Curva Sud atau BCS telah dinobatkan sebagai penyokong paling fanatik di Asia oleh Copa90.

Di Jogja sebenarnya ada banyak kelab bolasepak. Selain PSS Sleman, ada PSIM Jogja dan juga Persiba Bantul. Satu kawasan atau daerah ada lebih dari satu kelab, dan penyokong mereka fanatik. PSS Sleman dan PSIM merupakan musuh setempat dan kedua-duanya mempunyai penyokong yang ramai yang juga sangat fanatik.

Sebelum ke sana, aku meminta tunjuk ajar seorang rakan yang pernah ke Stadium Maguwoharjo dan menonton perlawanan PSS Sleman. Loy memberikan aku nombor seorang guide di sana yang boleh membantu untuk membawa aku stadium. Selain itu, Loy turut memberitahu bagaimana cara untuk membeli tiket dan keadaan di sana.

Aku terbang ke Jogja pada hari Jumaat lalu dan perlawanan adalah pada hari Sabtu. Rupanya sehari sebelum aku ke Jogja, ada perlawanan satu lagi pasukan asal Jogja iaitu PSIM. Kalau aku terbang awal sehari, mungkin aku sudah menonton dua perlawanan di sana.

Menuju Stadium

Hari pertama aku habiskan dengan menonton wayang dan berehat. Ditambah pula ini kali kedua aku ke Jogja, jadi kebanyakan tempat di kota Jogja ini telah aku lawati. Tambahan pula, aku memang ingin menonton filem ketika ke Jogja.

Keesokan harinya aku memulakan hari dengan awal. Tiket akan mula dijual pada pukul 2.30 petang tetapi aku dinasihatkan pergi awal kerana takut tiket habis disebabkan penyokong PSS Sleman sememangnya fanatik dan jarang stadium tidak penuh. Untuk penduduk Jogja, mereka boleh membeli tiket secara online atau menerusi kelab penyokong.

Kedai Brigata Curva Sud. Penyokong boleh membeli barangan rasmi BCS atau tiket perlawanan di sini

Aku bersiar-siar dulu di sekitar Taman Sari dan Kraton untuk menghabiskan masa pada pagi itu. Tepat jam 1 tengahari, aku bertolak ke Stadium Maguwoharjo yang terletak di Sleman bersama Syaiful, guide aku di sana yang juga penyokong PSS Sleman.

Sebaik aku tiba di sana, tidak terlalu ramai penyokong ketika itu untuk membeli tiket. Mungkin mereka sudah membeli secara online, atau aku terlalu awal.

Beli tiket seat VIP dapat free kopi Torabika.

Tiket untuk tempat duduk biasa berharga 40,000 rupiah (RM 13) dan tempat duduk VIP 60,000 rupiah (RM 19) . Sebelum ini Loy menasihatkan aku untuk membeli tiket VIP untuk lebih mudah melihat aksi Curva Sud dan merakam video. Apa yang bagus, dengan setiap pembelian tiket VIP, dapat satu paket kopi jenama Torabika. Beli tiket VIP di Malaysia? Kadang-kadang perlawanan apa pun tak ditulis di atas tiket.

Sementara menunggu 2 jam lagi perlawanan, aku bersama Syaiful singgah ke Hartono Mall yang terletak tidak jauh dari stadium untuk berehat dan minum kopi. Tidak banyak yang boleh dilakukan di stadium jadi kami membuat keputusan untuk melepak di Mall. Rasa seperti orang Jogja pula lepak di mall.

Kami bertolak ke stadium pada pukul 5.30 petang untuk mengelakkan kesesakan. Kalau di Malaysia dan ada perlawanan besar, perlu ke stadium dua jam awal untuk elakkan kesesakan dan parking dekat dengan stadium. Tapi mungkin itu disebabkan rata-rata peminat bolasepak di Malaysia menaiki kereta.

Di Jogjakarta, majoriti yang ke stadium menaiki motorsikal. Oleh sebab itu, tempat letak kenderaan di dalam stadium adalah untuk motorsikal sementara untuk yang memandu kereta akan parking di kawasan tanah lapang di depan stadium.

Mafla dan jersi tiruan dijual di sekeliling stadium.
Antara makanan yang dijual di stadium

Di sekeliling stadium, banyak peniaga yang menjual mafla dan jersi tiruan sama seperti di Malaysia. Agak mengecewakan kerana tiada kedai rasmi yang menjual jersi original di stadium. Jersi original hanya dijual di kedai Sembada Apparel, pembuat jersi PSS Sleman. Tapi di stadium bezanya adalah dari segi makanan. Di Malaysia, kita sudah biasa dengan burger daging tanpa sayur, hotdog, nugget dan bebola goreng. Di Indonesia pula ramai peniaga bakso, bakpau dan masakan Indonesia yang lain.

Walaupun ramai penyokong yang hadir, untuk masuk ke stadium cukup lancar dan pantas. Stadium Maguwoharjo mampu memuatkan seramai 31,700 orang setiap masa. Tetapi mungkin lebih dari itu yang masuk, kerana dapat dilihat ada yang sehingga memanjat dan duduk di atas tembok di bahagian atas stadium berkenaan.

Penyokong PSS Sleman memanjat tembok untuk melihat perlawanan. Amaran: Jangan tiru aksi ini

Selain daripada ingin melihat sendiri perlawanan PSS Sleman yang terkenal dengan gelaran Super Elang Jawa atau Super Elja, tarikan utama yang membuatkan aku mahu ke Jogja adalah untuk melihat kehebatan Brigata Curva Sud (BCS). Mereka sememangnya menakjubkan dan hebat!

Sama seperti ultras di negara lain, mereka menyanyikan chant dari awal hingga ke hujung permainan dan cuma berhenti di rehat separuh masa. Selama 90 minit mereka terus memberikan sokongan habis-habisan kepada PSS Sleman. Sebelum sepak mula, mereka membaling resit roll ke dalam padang dan ketika itu kelihatan seperti salji turun dengan lebat di Stadium Maguwoharjo. Apa yang lebih menarik adalah, sebelum sepak mula, ahli-ahli BCS sendiri turun dan membersihkan padang dari gulungan resit-resit itu.

Resit roll yang dibaling hingga menutup tiang gol

Tifo menakjubkan

Perlawanan bermula. PSS Sleman cukup hebat dalam perlawanan tersebut.

Penguasaan mereka membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol sebelum rehat separuh masa. Dengan sokongan padu BCS dan Slemania, seharusnya PSS Sleman tidak boleh kalah langsung di Maguwo. Aku yang hanya menonton pun boleh rasa bersemangat apatah lagi yang di atas padang.

Perkara paling menakjubkan berlaku di separuh masa kedua. Selepas beberapa minit separuh masa kedua bermula, satu tifo menarik dibuat oleh Brigata Curva Sud. Aku tahu BCS memang terkenal dengan tifo-tifo yang menakjubkan ketika perlawanan, dan kali ini aku dapat melihat dengan mata aku sendiri. Memang menakjubkan!

Tifo yang cukup menakjubakan dari Brigata Curva Sud

BCS mengangkat tifo yang menunjukkan gambar pemain, jurulatih dan penyokong PSS Sleman. Di Tifo tersebut tertulis “Fight for Pride not for Praise” (Berjuang untuk kebanggaan bukan untuk pujian). Tifo tersebut disambut dengan sorakan penyokong lain di dalam stadium.

Perlawanan berakhir dengan PSS Sleman muncul pemenang dengan keputusan 4-0. PSS Sleman tidak berdepan sebarang masalah dalam perlawanan tersebut dan permainan mereka cukup mantap. Kemenangan itu adalah yang kedua buat PSS Sleman dalam tiga perlawanan dan kini mereka berada di kedudukan kedua Kumpulan 3 Liga 2 Indonesia. Untuk Liga 2, pasukan dibahagikan kepada tujuh kumpulan disebabkan terlalu banyak pasukan.

Pemain dan staff kejurulatihan membuat bulatan di tengah padang selepas perlawanan tamat

Kebiasaannya selepas tamat perlawanan, pemain dan staff akan menuju ke arah penyokong untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi berbeza dengan apa yang berlaku di Stadium Maguwo. Pemain dan staff kejurulatihan berdiri dan membentuk bulatan di tengah padang dan kesemua penyokong menyanyikan lagu. Sangat indah apa yang aku lihat di depan mata. Ia menunjukkan bagaimana kelab dan penyokong adalah satu.

Kagum, teruja, membuka mata dan banyak lagi perasaan yang tak dapat aku gambarkan dengan pengalaman ini. Pengalaman ini membuatkan aku lebih bersemangat untuk terus meneroka Indonesia dan negara Asean lain untuk melihat sendiri budaya bolasepak mereka.

Kepada yang mahu melihat pengalaman aku dalam bentuk video, bolehlah ke laman youtube aku untuk menyaksikan sendiri keadaan di sana. Kalau ada sesiapa yang mahu cuba ke Stadium Maguwoharjo, bolehlah cuba menghubungi aku menerusi laman Twitter peribadi aku, @NizamArchibald.

Semoga aku akan dapat menceritakan lebih banyak lagi kisah sebegini cuma dari stadium kelab dan negara yang lain pula!