Football

Essien bakal disingkir Persib?

Nampaknya masa untuk Michael Essien berada di Bandung mungkin tidak akan bertahan lama.

Selepas menjadi pemain berstatus marquee player yang pertama dalam Liga 1 Indonesia yang dibentuk pada tahun ini, nampaknya bekas pemain Chelsea ini tidak dapat memberi impak yang banyak kepada Persib Bandung seperti yang diharapkan.

Hanya berada dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan, Essien dikatakan bakal dilepaskan di pertengahan musim ini.

Bekas pemain Persib Bandung, Yudi Guntara menyatakan bahawa Persib mungkin akan menyingkirkan dua pemain berstatus marquee player mereka nanti seperti dipetik dari Tribunnews.

“Ya, kita dapat melihat bahawa pemain import yang dimiliki Persib seperti Essien, Cole dan Matsunaga terus berada di bangku simpanan.

“Saya rasa pemain import paling efektif setakat ini hanya Vladimir (Vujovic). Ada sebab kenapa mereka tidak dapat beraksi dengan baik. Mungkin itu masalah fizikal atau lain, Cole dan Essien belum berada di tahap terbaik.”

Dalam perlawanan terakhir, Essien gagal menyempurnakan sepakan penalty dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 ketika Persib menerima kunjungan Borneo FC.

Setakat ini Essien hanya menjaringkan dua gol dan salah satu darinya adalah dari sepakan penalti ketika menentang Persipura Jayapura.

Sementara Carlton Cole pula masih belum menjaringkan sebarang gol buat pasukan yang bergelar Maung Bandung itu.

Bekas ketua pasukan Ghana itu sebelum ini telah menandatangani kontrak setahun dengan pilihan sambungan setahun bersama Persib pada bulan Mac yang lalu.

Sebelum ini, laporan media turut menyatakan bahawa Essien dan Cole gagal menyesuaikan diri dengan cuaca di Indonesia dan mengalami masalah untuk tidur.

Kehadiran Michael Essien ke Indonesia menerima liputan luas dengan media dari seluruh dunia melaporkan mengenai kehadiran pemain tersebut ke Liga Indonesia.

Persib kini berada di tangga kedua Liga 1 Indonesia selepas mencatat tiga kemenangan dan empat seri dalam tujuh perlawanan. Persib kekal menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas selepas tujuh perlawanan.

Persib akan bertandang ke Stadium Kapten I Wayan Dipta untuk menentang Bali United bagi perlawanan seterusnya pada hari Rabu nanti.

Other posts by