Melaka United rehatkan Eric Williams

0
Photo credit: Espnfc.com

Adakah kita akan melihat seorang lagi jurulatih pasukan Liga Malaysia ‘direhatkan’?

Kita sudah melihat jurulatih seperti Ashley Westwood, Wanderley Junior dan Azmi Mohamed yang sama ada direhatkan atau melepaskan jawatan mereka pada musim ini.

Nampaknya, seorang lagi jurulatih bakal direhatkan oleh pasukannya.

Jurulatih Melaka United, Eric Williams telah direhatkan untuk perlawanan menentang Felda United pada hari Rabu ini.

Eric Williams yang mengambil alih jawatan jurulatih Melaka pada awal musim ini dikhabarkan akan digantikan oleh pembantunya, G. Selvamohan untuk perlawanan tersebut.

Akan tetapi, Eric hanya direhatkan disebabkan mempunyai masalah kesihatan buat sementara waktu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Yusoff Mahadi seperti dilaporkan oleh New Straits Times, Eric akan direhatkan perlawanan tersebut tetapi masanya di Melaka juga mungkin akan sampai ke penghujung ekoran prestasi buruk Melaka.

“Williams memberitahu saya bahawa dia sakit dan kami membuat keputusan untuk merehatkannya buat sementara waktu.

“Kami mungkin menukar barisan kejurulatihan kami kerana sebilangan pemain tidak bersetuju dengan corak latihan Williams.

“Kami tidak akan membuat keputusan terburu-buru. Saya akan membincangkan perkara ini dengan Williams selepas perlawanan menentang Felda dan kami akan melihat dari situ sama ada kami perlu mencari jurulatih baru.”

Melaka United kini berada di tangga kesepuluh Liga Super selepas hanya mengumpul 11 mata dari 12 perlawanan. Mereka hanya mampu memperoleh dua kemenangan, lima seri dan lima kekalahan serta hanya menjaringkan 13 gol berbanding 25 bolos dalam 12 perlawanan.

Melaka United menunjukkan aksi cemerlang pada musim lalu selepas menjuarai Liga Perdana di bawah bimbingan Mat Zan Mat Aris. Eric Williams yang juga bekas jurulatih Yangon United menggantikan tempat Mat Zan untuk saingan Liga Super.

Melaka United juga telah mendapatkan pemain pertahanan baru dari Macedonia, Jasmin Mecinovic untuk memperkuat pasukan. Selain itu, Melaka turut dikatakan akan menggugurkan Ilija Spasojevic dan Sergio Aguero selepas kedua pemain tersebut menunjukkan aksi kurang memberangsangkan.

Melaka United akan bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dalam perlawanan seterusnya.