Bekas jurulatih Kuala Lumpur bantu Manchester United julang Piala Europa

0
Photo Credit: PA

Di sebalik kemenangan bermakna Manchester United di Piala Europa awal pagi tadi, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa salah seorang dari staff kejurulatihan Jose Mourinho pernah berkerja di Malaysia.

Tidak, individu berkenaan bukanlah seorang anak Malaysia atau berdarah campuran Malaysia, tetapi dia pernah menjawat jawatan ketua jurulatih satu pasukan di Liga Perdana pada tahun 2015.

Individu tersebut adalah Ricardo Manuel Nunes Formosinho atau lebih dikenali sebagai Ricardo Formosinho.

Bekas pemain Vitoria Setubal pada tahun 70-an ini dahulu pernah menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur bagi musim 2015. Namun, masa Ricardo Formosinho bersama Kuala Lumpur tidak lama apabila dia dilepaskan selepas kurang tiga bulan bertugas ekoran prestasi hambar Kuala Lumpur.

Sebelum bersama Kuala Lumpur, Ricardo pernah juga bersama Mourinho di Porto ketika kelab Portugal itu mencipta kejutan memenangi trofi Liga Juara-Juara pada tahun 2003-04. Selain itu, Formosinho juga pernah bertugas sebagai pencari bakat di Real Madrid ketika Mourinho menjadi pengurus di kelab Sepanyol itu.

Photo credit: Daily Mail UK

Selain Kuala Lumpur, Ricardo Formosinho pernah menjadi jurulatih paasukan Becamex Binh Duong dan Long An di Vietnam, Al-Khaleej di Arab Saudi selain membantu kelab divisyen dua Portugal Santa Clara yang dilanda masalah kewangan mengelak dari tersingkir.

Jawatan jurulatih Kuala Lumpur adalah jawatan jurulatih terakhir Ricardo sebelum dia kembali bergabung bersama Mourinho dengan menyertai staff kejurulatihan Manchester United.

Dari melatih pasukan untuk mengelak penyingkiran dari Liga Perdana Malaysia kepada melatih pasukan yang menjuarai Piala Europa dan bermain di Liga Perdana Inggeris. Mungkin Kuala Lumpur telah terlepas pandang seorang jurulatih yang sebenarnya mampu membantu mereka sebelum ini.