Football

Monaco berminat dapatkan pemain muda Indonesia

Nampaknya sejak menyarung jersi Indonesia, nama Ezra Walian terus menjadi sebutan.

Selepas meninggalkan pasukan muda Ajax, Jong Ajax, Ezra terus berada dalam radar kelab-kelab di Eropah.

Baru-baru ini, Kompas.com melaporkan bahawa tiga kelab Inggeris sedang merisik pemain bawah 22 tahun Indonesia itu. Dikhabarkan bahawa salah satu dari kelab tersebut bermain di Liga Perdana Inggeris sementara dua lagi bermain di Liga Championship England.

Perkembangan terbaru menyatakan bahawa pemain muda Indonesia itu turut berada dalam pemerhatian kelab Perancis.

Menurut laporan Goal.com, juara Liga Perancis, Monaco berminat untuk mendapatkan Ezra Walian.

“Menurut sumber yang boleh dipercayai, AS Monaco, FC Utrecht dan Reading berminat untuk mendapatkan pemain tersebut,” lapor Goal.com pada hari Jumaat lalu.

Ezra yang tamat kontrak bersama pasukan muda Ajax telah menyatakan bahawa dia memang tidak akan menyambung kontrak bersama kelab Belanda itu dan mahu mencari kelab baru.

Menurut bapanya, Glenn Walian seperti dilaporkan oleh Kompas.com,” Kami akan memulakan perbincangan pada bulan Julai.

“Kami akan memilih kelab yang mampu menjami bahawa dia akan berada dalam kesebelasan utama. Wang bukan keutamaan kami,” kata Glenn Walian lagi berkenaan pemilihan kelab.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai pasukan remaja Ajax Amsterdam pada tahun 2012 dan telah mewakili Belanda dalam beberapa perlawanan sebelum memilih untuk menyertai skuad Garuda.

Ezra baru-baru ini telah diberikan kewarganegaraan Indonesia oleh kerajaan Indonesia pada bulan Mac. Ezra mempunyai darah Indonesia menerusi bapanya yang berasal dari Manado, Sulawesi Utara.

Pastinya peminat bolasepak Indonesia berharap Ezra akan dapat membantu pasukan bawah 22 tahun Indonesia merangkul pingat emas dalam acara bolasepak Sukan SEA yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos nanti.

Other posts by