W.A.R.I.S akan cipta lagu baru untuk pasukan Negeri Sembilan

0
Photo credit: Mynewshub

Setiap pasukan bolasepak ada penyokong. Kadang-kala ada sebilangan penyokong pasukan tersebut terdiri daripada golongan selebriti yang cukup terkenal.

Contohnya seperti Janna Nick yang menyokong pasukan Kedah atau Liam Gallagher yang merupakan penyokong kuat Manchester City.

Kombinasi golongan selebriti dengan pasukan juga sering berlaku dalam bolasepak. Contohnya seperti artis hip hop, Stormzy, peminat Manchester United yang terlibat dengan kempen #Pogback awal musim lalu, atau kumpulan terkenal Malaysia, KRU yang menggubah lagu untuk Selangor bertajuk Viva Selangor.

Nampaknya seorang lagi selebriti tanah air akan terlibat dengan pasukan bolasepak kesayangannya.

Penyanyi hip hop tanah air, Waris yang cukup terkenal dengan lagu “Rembau Most Wanted” dan “Botingkek” diumumkan akan mencipta satu lagu untuk pasukan bolasepak Negeri Sembilan.

Photo credit: Laman Facebook Rasmi PBNS

Dalam satu laporan oleh M Star yang turut disiarkan oleh laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu menggunakan dialek Negeri Sembilan itu telah diberi penghormatan oleh PBNS untuk mencipta sebuah lagu untuk skuad jang.

“Saya dalam proses untuk buat lagu untuk PBNS, setakat ini saya sudah siapkan demo dan akan dirakam tidak lama lagi.”

Apa yang menarik, penglibatan penyanyi dengan nama sebenar Muzammil Alias ini, dia bukan setakat akan mencipta lagu, tetapi dia juga telah diminta oleh PBNS untuk menyiapkan muzik video untuk lagu berkenaan. Menurutnya, penggambaran akan turut dilakukan di dalam Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

Melihat kepada suasana dan kehangatan di kalangan penyokong Negeri Sembilan musim ini, pastinya ini akan memberikan satu motivasi kepada penyokong dan juga pemain.

Penglibatan golongan selebriti dapat membantu pasukan untuk menaikkan populariti mereka. Diharap lebih banyak pasukan akan turut melibatkan golongan selebriti terutamanya yang merupakan penyokong tegar pasukan dalam membantu menarik penyokong.

Apa agaknya idea yang akan digunakan oleh Waris untuk menulis dan menghasilkan muzik video untuk lagunya nanti? Adakah daging salai masak lemak cili api akan membuat penampilan? Atau mungkin kita akan melihat cameo dari pelakon veteran, Ebby Yus dalam muzik video itu nanti? Sama-sama kita nantikan.