? Persib tewas kali kedua, penyokong ceroboh ke dalam padang

0

Penyokong perlu menyokong pasukan ketika mereka menang atau kalah. Itu satu ungkapan yang biasa kita dengar apabila bercakap mengenai penyokong. Setiap kali pasukan berada dalam keadaan sukar, penyokong diminta bersabar dan terus setia menyokong pasukan. Tapi bagaimana jika penyokong sudah mula hilang sabar?

Itu telah ditunjukkan dalam perlawanan Persib menentang Bhayangkara FC di Stadium Patriot, Bekasi di mana penyokong Persib yang terkenal dengan jolokan Bobotoh menyerbu ke padang dan mengarahkan pemain membuka jersi mereka sambil menjerit “kamu tidak layak memakai jersi itu.”

Rusuhan itu berlaku pada minit ke-83 selepas Bhayangkara menjaringkan gol menerusi Ilham Armaiyn pada minit ke-81.

Pada mulanya penyokong Persib sekadar membaling botol ke arah padang sebagai bentuk protes terhadap pemain. Tidak lama selepas itu, mereka menceroboh masuk ke dalam padang sebagai tanda protes mereka kepada pemain Persib yang mereka anggap lemah.

Kejadian itu menyebabkan pengadil perlawanan Yeni Krisdianto menghentikan sementara perlawanan selama lebih dari 10 minit.

Kejadian menjadi bertambah buruk apabila penyokong Bhayangkara yang dikenali Bharamania membalas rusuhan penyokong Persib itu. Mungkin ada sesetengah penyokong Persib lupa bahawa sebahagian besar penyokong Bhayangkara FC adalah pegawai polis.

Menurut salah seorang penyokong Persib, rusuhan itu berlaku kerana mereka kecewa dengan pemain Persib yang lemah.

“Kami kecewa dengan pemain pertahanan Persib yang jelas kelihatan lemah mengawal penyerang Bhayangkara. Kami juga tidak berpuas hati dengan pengadil kerana kelihatan berat sebelah,” kata penyokong Persib Erik Kustara seperti dilaporkan oleh Antaranews.

Penyerang import Persib, Carlton Cole menyatakan bahawa kejadian tersebyt merupakan satu mimpi buruk dunia bolasepak.

Ketika ditemuramah oleh media Indonesia, Antaranews, Cole berkata bahawa ini kali pertama dia melihat keganasan dalam bolasepak.

“Kejadian ini mimpi buruk untuk bolasepak. Saya menyaksikan aksi ganas yang luar biasa malam ini.

“Saya juga melihat ada penonton yang menyalakan flare serta membaling botol dan sampah kepada pemain.

“Keadaan seperti ini sangat jauh berbeza dengan penyokong antarabangsa yang sudah dewasa dalam menerima keputusan perlawanan.”

Penyokong mula menunjukkan rasa tidak puas hati mereka selepas Persib menunjukkan aksi kurang memberangsangkan selepas hanya mampu menjaringkan lapan gol dari sembilan perlawanan musim ini. Kekalahan kepada Bhayangkara FC merupakan kekalahan kedua berturut Persib selepas tewas kepada Bali United dalam perlawanan sebelum ini.

Pasukan kendalian Djadjang Nurdjaman itu kini berada di tangga ke-11 Liga 1 Indonesia.