Football

Bekas jurulatih Terengganu sertai kelab Thailand

Kelab Thailand, BEC-Tero Sasana FC telah mendapatkan bekas jurulatih Bribane Roar, Mike Mulvey selepas menyingkirkan jurulatih lama mereka Uthai Boonmoh ekoran prestasi buruk pasukan.

Mulvey akan menjadi jurulatih kedua yang berasal dari Australia di liga utama Thailand, menyertai Aurelio Vidmar, yang mengendalikan pasukan terkenal Bangkok Glass- salah satu dari musuh setempat BEC Tero di Bangkok.

Jurulatih berusia 54 tahun itu akan mengambil alih BEC di saat pasukan kini berada di kedudukan ke-10 dari 18 pasukan di pertengahan musim. BEC pada awal musim menunjukkan prestasi cemerlang, namun kehilangan rentak termasuk gagal menang dalam lima perlawanan terakhir mereka.

“Sebaik sahaja kelab berhubung dengan saya, saya memang teruja dengan apa yang mereka tawarkan. BEC Tero Sasana merupakan salah satu daripada pasukan besar di Thailand mengikut sejarah dan pemilik telah meyakinkan saya bahawa pasukan boleh memberi saingan semula.

“Namun, ianya tidak mudah kerana bolasepak Thailand sedang mendapat pelaburan besar dan enam pasukan teratas antara yang terkuat di rantau ini.

“Tahap pelaburan bermaksud kualiti pemain asing di Thailand semakin memuncak sejak kebelakangan ini dan tahap permainan pemain tempatan juga terus meningkat. Persaingan merebut bakat semakin sengit. Ianya satu liga yang kuat dan sangat mengujakan untuk berada di dalamnya,” kata Mulvey kepada The World Game.

Mulvey tidak asing lagi dengan bolasepak Asia Tenggara selepas pernah menjadi jurulatih di Malaysia bersama pasukan Sabah FA dan Terengganu.

Sasaran Mulvey bersama BEC adalah untuk menunjukkan permainan menarik serta bertenaga selain mahu bersaing dalam tempoh terdekat.

“Cabaran untuk kami adalah untuk bersaing dengan agresif dalam tempoh terdekat dan kemudian melihat cara untuk mendapat kelebihan dalam jangka masa panjang.

“Sasaran utama saya adalah untuk menjadikan kami pasukan paling ke depan dari segi taktikal di negara ini dan paling bersedia. Saya mahu membawa tahap professionalism dan fokus yang lebih tinggi – mewujudkan budaya di mana pemain mahu berkerja keras setiap hari.

“Melihat kepada pasukan, ada sebilangan pemain yang bagus tetapi kami perlu berfikir di mana kami boleh dapatkan bakat baru di sebilangan bahagian, terutamanya di bahagian serangan. Saya mahu bermain bolasepak menarik serta bertenaga dan saya akan mencari pemain yang sesuai untuk itu.”

Other posts by