Lionel Messi tidak beraksi menentang Singapura nanti

0
Photo Credit: CBS Sports

Berita buruk buat peminat pasukan Argentina di Singapura dan yang akan ke negara berkenaan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan pasukan gergasi dunia tersebut dan melihat aksi bintang-bintang Argentina.

Menurut akhbar The Clarin, akhbar harian terbesar di Argentina, bintang Barcelona, Lionel Messi dijangka tidak akan bermain dalam perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapura pada 13 Jun nanti.

Menurut akhbar berkenaan, Messi akan beraksi menentang Brazil di Melbourne, Australia pada hari Jumaat ini, tetapi akan terus pulang ke Argentina selepas perlawanan tersebut.

Messi bersama pasangannya Antonella Rocuzzo yang juga ibu kepada dua orang anaknya, Thiago dan Mateo, akan berkahwin pada 30 Jun ini dan ketua pasukan Argentina itu dikatakan mahu bersama keluarganya untuk melakukan persiapan perkahwinan mereka di Rosario, Argentina.

Namun, Persatuan Bolasepak Argentina masih belum memberi sebarang pengesahan berkenaan berita tersebut.

Seorang lagi pemain yang dijangka tidak akan bermain dalam perlawanan tersebut adalah pemain pertahanan Manchester City, Nicolas Otamendi yang juga akan berkahwin pada 16 Jun. Bekas pemain Valencia itu juga dijangka tidak akan turut bermain dalam perlawanan menentang Brazil nanti.

Jurulatih baru Argentina, Jorge Sampaoli mengesahkan dalam satu sidang media pada hari Khamis bahawa Messi dan Otamendi tidak akan turut serta bersama pasukan ke Singapura.

“Otamendi dan Messi akan dibenarkan untuk pulang selepas perlawanan kerana mereka berdua akan berkahwin,” Sampaoli dilaporkan berkata oleh media Argentina.

Peminat pasukan Argentina masih boleh berhibur dan menyaksikan aksi pemain-pemain hebat seperti Paulo Dybala, Gonzalo Higuain, Angel Di Maria dan ramai lagi dalam perlawanan tersebut. Walaupun tanpa Messi, pastinya melihat kehebatan pemain-pemain lain juga mampu memberikan kepuasan kepada semua penyokong.

Sebelum ini, Messi juga pernah hadir ke Asia Tenggara tanpa bermain. Dalam perlawanan di antara Barcelona menentang Malaysia XI pada tahun 2013, bintang dunia itu juga tidak beraksi kerana baru pulih dari kecederaan. Nampaknya Messi dan Asia Tenggara tidak mempunyai jodoh yang kuat. Mungkin peminat Messi di Asia Tenggara perlu ke Nou Camp untuk melihat aksi Messi.