Tennis, Football

Atlet-atlet sukan dunia ucap tahniah kepada Nadal

Sedar atau tidak, sebenarnya atlet berbeza sukan juga mengagumi antara satu sama lain.

Contohnya seperti manusia paling pantas di dunia, Usain Bolt yang meminati Manchester United atau bintang tennis dunia, Rafael Nadal yang merupakan penyokong kuat Real Madrid.

Rupanya ramai juga pemain bolasepak yang mengagumi Nadal sebenarnya. Salah seorang darinya adalah ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos.

Ramos telah mengucapkan tahnia kepada juara Terbuka Perancis 2017 itu selepas dia mencipta sejarah pada hari Ahad lalu di Roland Garros.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu memuji ‘Raja Tanah Liat’ itu selepas kemenangannya ke atas Stan Wawrinka untuk rekod menjuarai Roland Garros sebanyak 10 kali atau ‘La Decima’ seperti kata orang Sepanyol.

Ramos pastinya lebih tahu mengenai rasa memenangi La Decima apabila berjaya membantu Real Madrid memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara ke-10 Los Blancos pada tahun 2014 dan percaya Rafa merupakan seorang ikon sukan di Sepanyol.

“Dia seorang ikon sukan, salah seorang dari atlet Sepanyol yang terhebat,” kata Ramos.

Rupanya pujian tersebut bukan sekadar dari Ramos, bahkan ramai lagi pemain bolasepak.

Seteru Ramos di Sepanyol, Gerard Pique juga memuji pemain tennis 31 tahun itu dalam satu siaran di laman Twitter peribadinya.

“Raja di bumi! Kembali dengan bergaya! Tahniah kepada anda dan pasukan!,” tulis Pique.

Selain itu, penyerang Real Madrid yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Alvaro Morata juga meluahkan rasa kagumnya terhadap kejayaan luar biasa Rafael Nadal itu di laman Instagramnya.

Photo credit: Instagram @AlvaroMorata

“Dia seperti dari planet lain, tetapi bukan….Dia orang Sepanyol dan contoh untuk semua!! Hebat Rafa!!!”

Pujian untuk Rafa bukan sekadar dari pemain bolasepak, bahkan juga dari pemain bola keranjang hebat seperti Kobe Bryant. Kobe turut mengucapkan tahniah kepada Rafa di laman Twitter peribadinya.

“Tahniah Rafael Nadal #Decima #FrenchOpen.”

Rafael Nadal, yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan mencatatkan kemenangan 6-2, 6-3, 6-1 ke atas pilihan ketiga dari Switzerland, Stan Wawrinka dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam dan lima minit itu.

Dengan kemenangan tersebut, Rafa kini berada di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan pemain yang memenangi kejuaraan Grand Slam paling banyak dan menjadi pemain tertua dalam sejarah tennis yang memenangi 15 kejuaraan Grand Slam pada usia 31 tahun 8 hari.

Other posts by