Bekas rakan sepasukan David Beckham sertai Pulau Pinang

0
Photo: LA Galaxy

Semenjak jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka, semua pasukan mula memperkuat pasukan masing-masing. Ada yang membawa masuk jurulatih baru, ada yang membawa masuk pemain tempatan baru dan ada juga yang membuat rombakan pemain import baru.

Siapa sangka, salah satu pasukan yang sedang bergelut dalam saingan Liga Super dapat membawa masuk seorang pemain yang pernah beraksi bersama bintang bolasepak dunia, David Beckham suatu ketika dahulu.

Pulau Pinang telah membawa masuk bekas pemain pertahanan LA Galaxy, Brandon Mcdonald bagi memperkuat bahagian pertahanan pasukan untuk separuh musim kedua Liga Super Malaysia.

Photo credit: Facebook FA Penang

Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah beraksi dengan banyak pasukan di divisyen utama liga bolasepak Amerika Syarikat, MLS. Selain LA Galaxy, Brandon pernah beraksi untuk San Jose Earthquakes, DC United dan Real Salt Lake.

Selepas beraksi di MLS, Brandon berkelana ke Sweden untuk beraksi bersama Ljungskile SK.

Brandon tidak asing bersama Asia Tenggara kerana pernah beraksi bersama Chainat Hornbill di Liga Thailand sebelum beraksi bersama Rovers FC di liga bolasepak Guam.

Brandon pernah dipanggil untuk mengikut kem latihan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 2009, namun pada Julai 2014, dia dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Guam dan telah membuat sembilan penampilan untuk negara tersebut. Brandon McDonald mempunyai pertalian darah dengan Guam kerana bapanya berasal dari negara tersebut.

Selain Brandon, Pulau Pinang turut mendapatkan bekas pemain Sarawak dari Filipina, Mark Hartmann untuk melengkapkan kuota pemain import Pulau Pinang.

Pulau Pinang kini berada di tangga tercorot Liga Super 2017 dengan enam mata selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada 13 perlawanan.

Pulau Pinang telah menyingkirkan jurulatih mereka, Ashley Westwood yang pernah memenangi kejuaraan di Liga India bersama Bengaluru FC dan menggantikannya dengan bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan selepas pasukan dari utara tanah air itu mempamerkan prestasi buruk dalam saingan liga.

Dua pemain tempatan baru turut dibawa masuk oleh Zainal Abidin Hassan, iaitu bekas pemain Kuala Lumpur, Azidan Sarudin serta bekas pemain Selangor, R. Surendran bagi memperkuat pasukan.