Kiatisuk Senamuang sertai Port FC, mulakan dengan kekalahan

0
Photo credit: Bangkok Post/Nattapol Vulakij

Selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai halatuju bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang, akhirnya dia memilih untuk menyertai kelab Liga Thailand, Port FC.

Namun, ‘Comeback’ Kiatisuk ke kerusi jurulatih tidak bermakna segalanya akan bermula dengan indah.

Dalam perlawanan pertama Kiatisuk, pasukannya tewas 3-0 kepada Bangkok United menerusi dua jaringan daripada Dragan Boskovic dan Mario Gjurovski untuk memusnahkan impian Kiatisuk untuk memungut tiga mata pertama.

Mario Gjurovski juga mencipta sejarah dalam perlawanan tersebut apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut di Liga Thailand.

Kiatisuk yang juga terkenal dengan jolokan Zico, memohon maaf kepada semua penyokong Port FC kerana tidak berjaya menghadiahkan mereka kemenangan.

“Saya hanya mempunyai masa dua hari dengan pasukan. Namun, kesemua pemain bermain dengan baik terutama di separuh masa pertama. Hanya, saya perlu mengakui bahawa Bangkok United lebih baik dari semua segi permainan,” ujar Zico menerusi laman instagram peribadinya.

“Tidak mudah menjadi jurulatih di Liga Thailand seperti sebelum ini. Saya hanya mempunyai masa dua hari sebelum perlawanan dan sudah tentu tidak cukup masa untuk mempersiap taktikal pasukan.”

Presiden Port FC, Nualphan Lamsam menyatakan bahawa dia yakin Kiatisuk Senamuang akan mampu membawa pasukan ke tahap lebih tinggi di sebalik kekalahan tersebut.

“Semua orang dapat melihat perubahan dari segi permainan kami terutamanya di bahagian serangan.

“Zico baru bersama pasukan selama dua hari dan saya rasa kami terganggu pada perlawanan menentang Bangkok United. Saya yakin dia akan mampu membawa kami (Port FC) ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam satu laporan Bangkok Post pada hari Selasa lalu.