Tennis, Football

Paolo Maldini tewas dalam penampilan pertama sebagai pemain tennis profesional

Kita biasa melihat pemain bolasepak yang bersara menukar kerjaya menjadi pengurus pasukan, jurulatih atau berkerja dengan media dengan menjadi pengulas.

Namun, ada sesetengah pemain yang selepas bersara menunjukkan bakat mereka dalam sukan lain pula.

Bagi legenda AC Milan dan Itali, Paolo Maldini, selepas menggantung but, dia bertukar memegang raket tennis pula. Akan tetapi, mungkin dia terpaksa bersara selepas satu perlawanan.

Bekas pemain berusia 49 tahun itu yang baru berjinak-jinak dengan sukan tennis pada enam tahun lalu beraksi bersama pasangannya, Stefano Landonia dalam kejohanan Tennis Aspria di Milan pada hari Isnin lalu.

Akan tetapi, penampilan pertamanya dalam perlawanan profesional berakhir dengan kekalahan apabila tewas mudah 6-1, 6-1 kepada gandingan Tomasz Bednarek dari Poland dan pemain Belanda David Pel di pusingan pertama.

“Ianya seperti menulis puisi selepas bertahun-tahun belajar matematik,” kata Maldini selepas perlawanan tersebut.

“Kami cuba untuk menikmati saat ini, juga kerana saya tida menjangka untuk merasai pengalaman ini ketika berusia 49 tahun. Apa yang melucukan, ketika mata pertama perlawanan, saya sudah merasa otot saya tertarik.

“Ianya satu pengalaman yang unik dan tak dapat diulang. Saya telah menikmati perlawanan ini dan tidak ada pengalaman lain lagi seperti ini. Kami mungkin boleh bermain lebih baik, tetapi itu bukan masalah. Perlawanan ini boleh berakhir 6-0,6-3, tetapi kami tewas 6-1,6-1 dan ianya tidak mengapa.

Tahukah anda bahawa gandingan Maldini dan Landonio pernah berada di tangga ke 975 dunia? Mungkin jauh lagi perjalanan mereka jika mereka mahu menjadi gandingan nombor 1 dunia.

“Saya mahu tegaskan, ini hanya untuk suka-suka kerana saya ahli kelab ini dan Stefano berkerja di sini,” jelas Maldini lagi.

Other posts by