Football

T-Team memperkenal pemain kebangsaan Cameroon

Kelab Liga Super Malaysia, T-Team memperkenal pemain import baru mereka bagi saingan separuh musim kedua Liga Super pada hari Khamis.

T-Team telah mendapatkan pemain kebangsaan Cameroon, Herve Yannick N’Djeng atau lebih dikenali sebagai Yannick N’Djeng bagi memperkuat serangan pasukan.

Pasukan dari Pantai Timur itu menghebahkan kehadiran Yannick ke pasukan menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka.

“Pemain kebangsaan Cameroon, Yannick N’Djeng telah diluluskan pihak FMLLP untuk beraksi bagi mengisi tempat penyerang import pasukan T-Team FC! Perlawanan pertama T-Team FC menentang Selangor FA pada hari Sabtu ini adalah merupakan Debut pertama bagi Yannick dalam Liga Malaysia! Selamat Datang Yannick ke T-Team FC! Tibang Yannick Tibang!”

Pemain berusia 27 tahun itu beraksi untuk kelab Tunisia, Espérance dan juga kelab Switzerland FC Sion sebelum berhijrah ke T-Team. Selain itu, Yannick juga pernah beraksi di Liga Algeria bersama JSM Béjaïa.

Bersama pasukan kebangsaan Cameroon, Yannick pernah membuat lima penampilan dan menjaringkan satu gol.

https://twitter.com/OfficialTTeamFC/status/880394411787431937

Ketika ditanya oleh peminat mengenai bagaimana cara untuk menyebut nama pemain baru mereka ini di laman Twitter, mereka sempat bergurau dengan menyatakan bahawa “memanggilnya Yannick adalah bagus, tetapi kalau dipanggil Janna Nick adalah terlebih manis”.

T-Team akan bertemu Selangor pada hari Sabtu ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam aksi Liga Super setelah lama berehat bagi memberi laluan kepada bulan Ramadhan dan juga Hari Raya Aidilfitri.

Other posts by