Robert Alberts, Jacksen Tiago kritik perubahan peraturan Liga Indonesia

0

Pelik dan melucukan.

Kebiasaannya peraturan liga hanya akan diubah sebelum liga bermula dan bukan ketika liga sedang berjalan. Tetapi itulah yang berlaku dalam Liga Indonesia musim ini.

Jurulatih PSM Makassar, Robert Rene Alberts membidas penangguhan peraturan berkenaan pemain bawah 23 tahun di Liga 1 Indonesia.

Menurut bekas jurulatih Sarawak itu, perubahan itu sangat pelik dan menyatakan bahawa sepanjang dia bergelar jurulatih selama 32 tahun, ini kali pertama adanya perubahan peraturan ketika liga masih berjalan.

Robert dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Kompas.com mempersoal perubahan peraturan tersebut: “Bagi saya, soalan utamanya adalah siapa yang menukar peraturan tersebut? Dari segi teknik, dari awal lagi peraturan ini sebenarnya tidak masuk akal.

Bekas jurulatih skuad bawah 19 Tahun Malaysia ini juga mempertikai peraturan asal yang mewajibkan semua pasukan menurunkan pemain muda.

“Dari pengalaman saya sebagai pengarah teknikal di Malaysia dan Korea, mereka tidak membuat peraturan sebegini untuk membangunkan liga. Dari awal, kami terpaksa ikut peraturan ini.

“Kami perlu mengikut peraturan ini selama 11 perlawanan, dan tiba-tiba mereka menghentikan peraturan itu. Adakah ini satu perkara yang bagus untuk bolasepak Indonesia? Kerana dalam dua bulan lagi kami harus kembali ke peraturan tersebut.

Sementara itu, jurulatih Barito Putera, Jackson F. Tiago turut mengecam perubahan peraturan tersebut.

“Kami sudah korbankan pasukan demi kepentingan nasional yang jauh lebih besar. Namun, tiba-tiba peraturan ini berubah.

“Ini bukan masalah Barito yang diperdebatkan. Tetapi kredibiliti pertandingan ini yang dipertaruhkan dengan adanya perubahan tersebut.”

Sebelum ini, lima pemain Barito Putera telah dipanggil untuk menyertai pemilihan skuad bawah 22 tahun Indonesia.

Pemain seperti Hansamu Yama Pranata, Paulo Sitanggang, Nazar Nurzaidin, Gavin Kwan Adsit dan penjaga gol Muhammad Riyandi dipanggil untuk sesi pemilihan pemain bawah 22 tahun Indonesia sebelum ini. Tetapi untuk sesi latihan terbaru di Bali, hanya seorang pemain Barito dipanggil, iaitu Hansamu Yama.