Football

VIDEO: Bayern Munich anjurkan sidang media hologram pertama di dunia

Bayangkan bolasepak digabungkan dengan teknologi Star Trek.

Begitulah yang boleh digambarkan apabila pada bulan Mei yang lalu, Bayern Munich mengadakan sidang akhbar secara langsung menggunakan teknologi hologram bagi mengumumkan pasukan yang akan menyertai kejohanan pra-musim mereka iaitu Piala Audi 2017.

Dibantu oleh teknologi dari ARHT Media, Bayern memperkenal dua jurulatih pasukan lawan mereka iaitu Diego Simeone (Atletico Madrid) dan Jurgen Klopp (Liverpool) dengan teknologi hologram secara langsung, sementara jurulatih Bayern Carlo Ancelotti berada di sidang akhbar tersebut secara fizikal.

Teknologi tersebut mengagumkan Klopp yang mengatakan bahawa ianya satu perkara yang menakjubkan.

“Sejujurnya ia sedikit aneh.

“Tetapi sebenarnya saya seorang yang mengikuti rancangan Starship Enterprise (Star Trek), dan saya rasa seperti berada di Munich. Ianya benda baru, tetapi kualitinya cukup bagus.

Syarikat yang mencipta hologram manusia itu yang dipanggil HumaGrams itu, ARHT, telah menjimatkan perjalanan Klopp dan Simeone yang boleh memakan masa 15 jam itu. Apa yang menakjubkan, para hadirin dapat merasakan kehadiran dua jurulatih itu di dalam bilik tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh sporttechie.com, Pengasas dan Pengerusi ARHT, Rene Bharti menyatakan bahawa: “Pada 12 May 2017, ARHT telah mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan sidang media holografik pertama di dunia.

“Kami sedang menyediakan platform mengenai bagaimana orang di semua tempat dapat berhubung dengan berinteraksi bersama individu penting dalam semua sektor seperti sukan, kesihatan, teknologi, hospitaliti, pengangkutan, pendidikan dan perniagaan.”

Mungkin selepas ini kita boleh menyaksikan perlawanan bolasepak dalam bentuk hologram pula? Siapa tahu.

Other posts by